Maksud retorik adalah:
Retorik boleh ditakrifkan dengan pelbagai makna. Retorik berasal daripada perkataan Greek 'tenhne rhetorike' yang bermaksud art of speech iaitu berkait dengan kemahiran berucap. Retorik juga dikaitkan dengan pemakaian bahasa secara berkesan dalam penulisan atau pertuturan, seni bahasa yang indah dan menarik untuk memujuk atau mepengaruhi pemikiran pendengar (Kamus Dewan 1989).
Maksud logos adalah:
Logos adalah logik sesuatu kenyataan yang mengutamakan kesahihan dalam hujahan. Aristotle berpendapat bahawa logos akan mengatur strategi enthymeme, exemplum (contoh) dan bidalan atau petunjuk (sententic). Hujahan logik yang lengkap mengandungi semua silogisme yang konkrit atau abstrak dengan menyatakan keterangan yang lengkap dan benar. Ia juga mempunyai rangkaian pernyataan lengkap yang benar. Ia juga mempunyai rangkaian pernyataan lengkap yang mengandungi sejarah, penghuraian subjek, definisi dan cadangan (Hare R.M. 1992).
Maksud pathos adalah:
Pathos pula ialah penzahiran pengucapan dalam penggunaan tarikan emosi dalam membentuk pemikiran dan penghujahan bagi menarik pendengar dan memastikan keberkesannya. Penggunaan pathos ini akan membangkitkan perasaan rasa seronok, sedih, cinta, benci dan kemarahan pendengar terhadap isu yang ditimbulkan. Penggunaan emosi biasanya dibawa sejak di awal isu yang dibangkitkan sehinggalah kepada klimaks isu sehingga boleh menimbulkan keinsafan atau ketakjuban pendengarnya. (Peter Dixon 1965).
Maksud ethos adalah:
Ethos ilah keterampilan diri pengucap dengan imej dan identiti diri yang akan dinilai atau ditanggap oleh khalayak. Ethos menjadi kayu pengukur keberkesanan penyampaian dan sebagai faktor kualiti diri. Ethos disebut oleh Aristotle dalam fakulti reka cipta (inventio) iaitu merujuk kepada pembuktian artistik dari aspek moral.
Retorik tidak asing dalam perkembangan ilmu Islam. Sejak penulisan al-Quran di zaman pemerintahan khulafa' al-Rasyidin iaitu Saidina Uthman bin Affan, ilmu retorik telah berkembang dengan pesat hingga kini. Ilmu retorik dikenali sebagai ilmu balaghah merupakan ilmu yang berlandaskan kejernihan jiwa dan ketelitian menangkap keindahan dan kejelasan sesuatu ungkapan (Ali al-Jarim & Musthafa Usman 1994). Kehadiran al-Quran ini telah menjadikan ilmu retorik terus berkembang apabila ramai pengkaji Islam mendekati bahasa al-Quran.
Penyesuaian retorik Barat dan retorik Islam juga turut dilakukan apabila melihat karya selain daripada al-Quran. Pemahaman dalam penggunaan asas retorik iaitu logos, pathos dan ethos juga membantu pendakwah menghasilkan kesan yang baik sebagai mana yang dibuat oleh tokoh pendakwah dalam pengucapannya seperti Ismail Kamus yang menguasai logos, pathos, ethos (nor Raudah Hj. Siren dalam Jurnal al-Afkar Bil.1/Jun 2000) dan menguasai teknik humor (Muzammil 2004) serta khatib yang memberi penekanan terhadap tiga elemen penulisan khutbah iaitu aspek invention, arrangement dan style (Norrodzoh Hj Siren & Yusmimi Md Yusoff eds. 2003).
Dalam aspek al-mujadalah, terbahagi kepada dua iaitu pendalilan rasional dan pendalilan emotif. Pendalilan rasional terbahagi kepada dua iaitu pendalilan Aqli dan pendalilan Naqli. Pendalilan logik juga disebut sebagai logos. Pendalilan Aqli merupakan pembuktian logik yang dilakukan berdasarkan akal yang boleh diterima oleh khalayak. Pendalilan aqli memerlukan kekuatan akal penulis atau pendakwah yang ingin berhujah tentang sesuatu isu yang diperkatakan. Al-Ghazali menyebut pendalilan aqli sebagai al-Burhan. Premis yang diterima oleh Islam ialah premis-premis yang benar iaitu premis yang membekalkan bukti, asas rasionaliti dan sebab atau alasan bagi kebenaran sesuatu kesimpulan (Mohd. Fauzi Hamat Jurnal Afkar 2003). Kaedah pendalilan aqli ini dapat dilaksanakan dengan penggunaan pentakrifan, klasifikasi, pentasdikan dan penalaran.
Manakala pendalilan emotif terbahagi kepada tiga iaitu satira, eulogi dan pathos. Penggunaan pathos dalam al-mujadalah atau perdebatan, perbincangan dan perbahasan memerlukan pendakwah yang berilmu pengetahuan yang mantap bukan sahaja dalam ilmu-ilmu Islam bahkan mahir memanipulasikan bahasa serta mempunyai pengalaman yang luas agar mampu mengutarakan hujahan yang bernas dan berkaitan agar mampu menyampaikan matlamat dakwah dan dihormati sasarannya. Uslub dakwah melibatkan proses untuk mengajak, merayu, serta menukar pendapat, pemikiran, tingkah laku dan aktiviti harian sasaran agar selari dengan kehendak Islam.
Menyentuh persoalan Ethos, Majid Fakhry (1985) mentakrifkannya sebagai etika iaitu etika seseorang pendakwah ialah sebagaimana yang digariskan oleh syariah "The Kuran around which the whole muslim mral, religious and social life revolves. Containen of ethical therories in the strict sense although it embodies the whole of Islamic Ethos". Penilaian terhadap etika seseorang pendakwah akan melihat segala tingkah laku dan tindakannya, kemanusiaan, kewibawaan, kerasionalan, kebebasan, kebenaran, keadilan dan kasih sayang, dan persahabatan yang diwujudkan dalam penyampaian dakwahnya. Islam amat menekankan aspek keperibadian seseorang pendakwah sebgai penyampai. Al-Ghazali (1994) pula menekankan aspek kerohanian ialah membangunkan sifat-sifat mahmudah dan menghindarkan diri dari sifat-sifat mazmumah seperti pemikran dan ilmu, fizikal dan penampilan, ibadah dan amalan, akhlak dan sosial.
Ketiga-tiga elemen ini boleh digunakan dalam penyampaian mesej dakwah melalui medium pidato atau ceramah. Seorang pendakwah hendaklah menggunakan logos seperti memasukkan dalil aqli dan naqli dalam penyampaian untuk membuktikan kesahihan ketika berhujah. Selain itu, pathos juga penting dalam menarik pendengar atau mad'u untuk memberi perhatian terhadap yang yang hendak disampaikan dengan emosi yang sesuai dimana dapat mempengaruhi perasaan khalayak ramai. Ethos juga memainkan peranan yang sangat penting kerana ia mencerminkan imej seseorang pendakwah dalam sesuatu majlis sama ada semasa pidato mahupun ceramah. Pendakwah dapat dilihat dari empat aspek retorik yang ada dalam dirinya iaitu pemikiran dan keilmuannya, fizikal dan keterampilan diri, ibadah dan amalannya, akhlak dan sosialnya.
0 comments :
Post a Comment